SHAH ALAM – Semua Sekolah Agama Negeri di bawah kawalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Selangor ditutup sepenuhnya mulai hari ini susulan keadaan jerebu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penutupan itu berkuat kuasa mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula oleh jabatannya.
Menurut beliau, Sekolah Islam Persendirian yang berdaftar dengan JAIS juga disarankan mengikuti ketetapan berkenaan.
“Semua sekolah di bawah kawalan JAIS ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) perlu melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Jelas Mohd Shahzihan, guru juga perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid sepanjang tempoh penutupan.
“Pihak sekolah hendaklah terus membuat pemantauan keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.
“Ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan serta makluman rasmi daripada JAIS dari semasa ke semasa khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JAIS.
“Ibu bapa dan penjaga juga disarankan menasihati anak-anak supaya mematuhi arahan pihak sekolah, menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dengan perkara tidak sepatutnya sepanjang tempoh penutupan sekolah,” katanya.-MalayaDailyToday



















































