RIYADH – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 309 lagi cedera dalam serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, lapor portal Middle East Eye.
Insiden itu berlaku ketika serangan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) dalam satu kenyataan, empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta seorang masing-masing warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terbunuh dalam serangan itu.
GACA memaklumkan beberapa mangsa cedera kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di beberapa hospital sekitar ibu negara, selepas dibawa menggunakan ambulans dan helikopter.
Kementerian Luar Jordan menerusi kenyataan mengesahkan dua rakyat negaranya yang cedera dibenarkan keluar dari hospital, manakala dua lagi masih dirawat.
Saksi di lokasi mengesahkan melihat letupan kuat di dalam terminal penerbangan yang menyebabkan sebahagian siling berhampiran pintu pelepasan runtuh sebelum mangsa bergelimpangan cedera.
Lebih 12 ambulans dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian, manakala sebahagian pelancong dipindahkan keluar dari fasiliti lapangan terbang demi keselamatan.
Susulan insiden itu, kesemua penerbangan ke Riyadh dilencongkan, selain operasi di lapangan terbang di bandar raya itu dihentikan sementara, kata GACA.
Serangan tanpa amaran ini merupakan yang paling berdarah di Arab Saudi dalam tempoh lebih dekad, selepas dua serangan terdahulu minggu ini mengorbankan empat nyawa dan merosakkan pesawat komersial di landasan.
Pakatan tentera menyifatkan serangan berkenaan sebagai `jenayah perang’ dan menegaskan akan mengambil tindakan balas yang tegas terhadap pencerobohan ke atas infrastruktur awam berkenaan.
Perkembangan ini berlaku ketika pertempuran sengit terus meletus antara tentera kerajaan Yaman dan kumpulan Houthi yang disokong Iran, dengan tentera kerajaan melancarkan lebih 1,900 operasi menyasar depoh senjata dan pos ketenteraan Houthi dalam tempoh 24 jam lalu.-MalayaDailyToday
























































