BENTONG – Perasaan cemburu selepas mendapati teman wanitanya bertemu dengan lelaki lain dikenal pasti sebagai motif seorang lelaki berusia 19 tahun bertindak menjerut leher kekasihnya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih, Kuantan, pagi semalam.
Media melaporkan Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan mangsa yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) meninggal dunia akibat kekurangan oksigen disebabkan jerutan pada leher.
“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati mengesyaki mangsa berjumpa lelaki lain,” katanya.
Azry Akmar memberitahu bahawa suspek sendiri menghubungi polis dan mengaku telah mencekik mangsa.
Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Perak sudah berada di rumah sewa mangsa sejak seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita terbabit.
Mangsa yang berasal dari Kedah menyewa kediaman berkenaan bersama beberapa rakan pengajian yang lain.
Beliau menambah, suspek merupakan bekas rakan pengajian mangsa yang telah diberhentikan sekolah dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas daripada pengaruh dadah.
Suspek kini direman sehingga 12 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, mayat mangsa telah dituntut oleh pihak keluarga bagi urusan pengebumian di kampung halamannya di Kedah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.32 pagi semalam, mangsa berusia 19 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah rumah sewa berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) akan memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan berhubung kematian seorang penuntut dipercayai dibunuh teman lelakinya.
JPPKK menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan kes melibatkan mendiang M. Elisa Jonova, 19, yang merupakan pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan Polisas.-MalayaDailyToday




















































