KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Malaysia melakar sejarah selepas dinobatkan sebagai juara Junior Global Essay Prize in History 2026 yang diadakan di London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.
Aaira Mavisha Habizan Rahman memenangi hadiah berkenaan yang dianugerahkan oleh Institut John Locke sekali gus menandakan kecemerlangan dalam perjalanan akademiknya.
Pelajar tingkatan 3 dari Kolej Yayasan Saad, Melaka itu menerima anugerah berprestij berkenaan dalam satu majlis penyampaian hadiah dan makan malam gala yang berlangsung di London Hilton on Park Lane, Mayfair pada 3 Oktober lalu.
Pengiktirafan peringkat global itu diberikan susulan keupayaan Aaira Mavisha mengupas isu-isu sejarah secara kritikal menerusi penyelidikan bebas, hujah analitikal, serta mutu penulisan yang berimpak tinggi.
Kolej Yayasan Saad Melaka menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook mengucapkan tahniah kepada Aaira Mavisha atas kejayaan cemerlang yang dilakarkannya di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian itu disifatkan amat luar biasa memandangkan Aaira Mavisha berjaya menewaskan saingan ribuan peserta dari lebih 180 negara.
“Pertandingan ini merangkumi bidang Sejarah, Ekonomi, Undang-Undang dan Falsafah bagi menggalakkan golongan muda menyampaikan fikiran serta idea kritis secara kreatif.
“Penulisan esei merupakan platform penting dalam memberi inspirasi, membentuk sudut pandangan dan membawa perubahan. Kami berasa bangga atas kesungguhan Aaira Mavisha mengambil peluang untuk menyerlah di peringkat antarabangsa,” jelas hantaran itu.



















































