PENONOME: Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Panama sekali gus mencetuskan panik di ibu negara yang dipenuhi bangunan pencakar langit, selain menyebabkan beberapa bangunan runtuh di bahagian tengah negara itu, lapor AFP.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini susulan bencana itu.
Ketua Operasi Kecemasan, Rene Garcia memberitahu setakat ini, pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan mengenai kematian.
Garcia berkata, dua individu dilaporkan cedera selepas terperangkap dalam dua struktur bangunan yang runtuh di lokasi berasingan.
Seorang mangsa terperangkap berhampiran sebuah gereja di Veraguas, manakala seorang lagi berada di sebuah hotel yang runtuh di Cocle.
Menurut Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan, gegaran gempa itu dirasai di seluruh negara Amerika Tengah yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk, dan berlarutan selama kira-kira seminit.
Di Panama City kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa, suasana panik tercetus apabila orang ramai bergegas keluar dari bangunan pencakar langit.
Satu video yang tular di media sosial, namun tidak dapat disahkan AFP, menunjukkan air melimpah dari kolam renang di tingkat atas sebuah bangunan melebihi 20 tingkat.
Satu lagi video tular menunjukkan jambatan merentasi Terusan Panama bergegar kuat tetapi kekal teguh ketika kenderaan melaluinya.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berlaku kira-kira pukul 12.56 tengah hari waktu tempatan dengan pusat gempa terletak 10 kilometer dari pekan kecil Pitaloza Arriba, di bahagian selatan-tengah Panama.
Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik, namun kemudiannya ditarik balik.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Terusan Panama memaklumkan aktiviti perkapalan melalui laluan yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Atlantik itu tidak terjejas serta beroperasi seperti biasa.
Kerosakan dilaporkan tertumpu di wilayah tengah, termasuk Herrera, Azuero, Veraguas dan Los Santos.
“Kami semua bergegas keluar dari bangunan, kabel elektrik bergoyang dan semua orang berada di luar,” kata Arnulfo Santos, pekerja di sebuah kilang tepung di Santiago de Veraguas.
Lapangan Terbang Antarabangsa Panama City, hab penerbangan utama di rantau itu, ditutup sementara.
Menurut Pihak Berkuasa Aeronautik Awam, beberapa penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Gempa bumi jarang berlaku di Panama dan biasanya tertumpu di wilayah Chiriquí, bahagian barat negara itu yang bersempadan dengan Costa Rica.
Gambar yang dikongsi media tempatan menunjukkan sebahagian bangunan hotel runtuh di pekan Penonomé, kira-kira 150 kilometer ke barat daya Panama City.
Berdasarkan laporan media tempatan, sebuah gereja di Penonomé turut mengalami kerosakan serius, manakala beberapa bangunan lain dilaporkan mengalami keretakan.
Gambar yang disiarkan akhbar tempatan turut menunjukkan jalan raya di wilayah Veraguas mengalami keretakan.
Lebih 10 gegaran susulan kuat direkodkan oleh institut geosains tempatan, termasuk satu gegaran bermagnitud melebihi 6.0.
Menerusi hantaran di platform X, Presiden Panama, Jose Raul Mulino, menggesa orang ramai supaya bertenang.
“Apa yang berlaku tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan kebimbangan dan kekacauan,” katanya.
Kementerian Pendidikan turut mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara.
Gempa di Panama itu sekurang-kurangnya kejadian keempat di Amerika Latin tahun ini yang bermagnitud melebihi 7.0, selepas dua gempa bumi berturut-turut yang memusnahkan kawasan Guaira di Venezuela pada Jun lalu dan gempa kuat di bahagian barat Colombia pada Ogos lalu. – MalayaDailyToday























































