NEW YORK – Penyanyi R&B veteran dan pencalon Anugerah Grammy, Freddie Jackson, yang terkenal menerusi lagu popular era 1980-an Rock Me Tonight (For Old Times Sake) serta You Are My Lady, meninggal dunia pada usia 70 tahun pada Isnin.
Keluarga mendiang mengesahkan berita pemergian berkenaan menerusi kenyataan rasmi di akaun Instagram rasmi Jackson, tiga hari selepas penyanyi legenda itu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70, namun punca kematian tidak didedahkan.
“Freddie bukan sekadar memiliki suara yang legenda. Beliau seorang yang baik hati dan pemurah, yang menyayangi peminat, keluarga, rakan-rakan serta muziknya sepenuh hati,” kata kenyataan pihak keluarga sambil memaklumkan butiran pengebumian akan diumumkan kelak.
Anak jati Harlem, New York itu memulakan kerjaya seni menerusi album sulungnya Rock Me Tonight pada tahun 1985 yang menerima pengiktirafan sijil platinum daripada Recording Industry Association of America (RIAA).
Kejayaan album berkenaan turut melonjakkan namanya di carta Billboard dan membawa kepada dua pencalonan Anugerah Grammy bagi kategori Artis Baharu Terbaik serta Persembahan Vokal R&B Lelaki Terbaik.
Sebelum pemergiannya, Jackson pada tahun 2024 pernah mendedahkan secara terbuka bahawa beliau didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang kronik dan berkerjasama dengan National Kidney Foundation bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penyakit berkenaan. -MalayaDailyToday




















































