Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara 27 tahun enam bulan selepas didapati bersalah merancang pembunuhan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai tindak balas terhadap kematian komander tentera Iran, Qassem Soleimani pada 2020.
AFP melaporkan Jabatan Kehakiman AS menerusi kenyataan memaklumkan, Asif Merchant disabitkan kesalahan oleh mahkamah di Brooklyn kerana cuba mengupah pembunuh upahan bagi membunuh seorang ahli politik atau pegawai kerajaan di negara berkenaan.
Merchant yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran ditahan pada 12 Julai 2024 ketika merancang untuk meninggalkan AS.
Terdahulu, Soleimani yang mengetuai operasi ketenteraan luar Iran terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad pada Januari 2020, sekali gus mendorong pegawai tertinggi Teheran berulang kali berikrar untuk membalas kematian komander tersebut.
Dalam keterangannya di mahkamah, Merchant mendakwa dia terpaksa menyertai rancangan pembunuhan itu bagi melindungi keluarganya di Teheran daripada ancaman Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Beberapa laporan media turut menyebut Merchant mendakwa menjangkakan dirinya akan ditahan sebelum sebarang pembunuhan berlaku.
Dia berkata tidak pernah menerima arahan untuk membunuh individu tertentu, namun kenalannya di Iran pernah menyebut tiga nama berkaitan rancangan tersebut iaitu Trump, bekas Presiden AS, Joe Biden dan bekas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.
Bagaimanapun, Peguam Negara AS, Todd Blanche menegaskan rancangan berkenaan secara khusus menyasarkan Trump.
“Seorang ejen Iran yang datang ke AS untuk menyelaraskan cubaan pembunuhan terhadap Presiden Trump kini dijatuhi hukuman setimpal atas perbuatannya,” katanya selepas Merchant dijatuhi hukuman penjara 330 bulan.
Blanche berkata, Jabatan Kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan sebarang rancangan keganasan asing yang menyasarkan pemimpin negara itu serta akan terus memastikan semua pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.-MalayaDailyToday

























































