AMPANG – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian di tempat letak kereta stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat berhubung penemuan lelaki itu yang pada awalnya disangka tidak sedarkan diri daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) pada pukul 7.30 pagi.
Beliau berkata, penolong pegawai perubatan Hospital Ampang kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Khairul Anuar menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan lelaki supaya tampil membantu polis.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa.-MalayaDailyToday

























































