MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dijadual mengangkat sumpah jawatan esok.
Media melaporkan pengesahan ringkas itu dimaklumkan Ab Rauf kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
“Esok angkat sumpah (Exco),” katanya.
Terdahulu, pertemuan selama kira-kira sejam bermula 11 pagi itu antara lain membincangkan usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas wakil rakyat serta memantapkan penyelarasan menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).
Perbincangan itu turut menyentuh usaha meneruskan inisiatif Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian berkaitan.
Sabtu lalu, gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.-MalayaDailyToday
























































