MELAKA — Perikatan Nasional (PN) menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara ketua menteri berhubung cadangan melantik wakil gabungan itu dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan kejayaan membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Media melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad memaklumkan pelantikan ahli Exco terletak di bawah bidang kuasa prerogatif Ketua Menteri Melaka dan beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.
“Okay, itu kuasa prerogatif daripada ketua menteri, saya enggan komen bab ini.
“Kepada kita, yang penting agenda hari ini ialah langkah pertama, kita menang dulu dan kita telah buktikan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Beliau mengulas cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyarankan agar wakil PN dilantik menganggotai barisan Exco sekiranya kedua-dua gabungan berjaya membentuk kerajaan negeri.
Idris menyifatkan kemenangan pakatan BN-PN itu sebagai bukti penerimaan pengundi, termasuk golongan muda, hasil kerjasama jentera kedua-dua parti di peringkat akar umbi.
Mengenai hala tuju kerjasama politik pasca-PRN Melaka, beliau berkata, Muafakat Nasional di negeri itu akan terus diperkukuh dengan meletakkan pentadbiran Putrajaya sebagai sasaran seterusnya.
“Seperti selalu saya sebut, ia bermula bertunas di Johor, kemudian berputik di Negeri Sembilan, hari ini berbuah dan insya-Allah rendangnya pula di Putrajaya,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan keputusan rasmi setakat pukul 9.40 malam ini menyaksikan BN memperoleh 15 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan dua kerusi manakala PN memenangi satu kerusi.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN memaklumkan berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bersetuju menamakan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menerajui pentadbiran sebagai Ketua Menteri Melaka.-MalayaDailyToday























































