MELAKA – Barisan Nasional (BN) secara rasmi melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Media melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan keputusan rasmi setakat pukul 9.40 malam ini menyaksikan BN memperoleh 15 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan dua kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi satu kerusi.
“Parti BN telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.
“Oleh itu, BN boleh membentuk kerajaan dengan keputusan majoriti mudah,” katanya ketika mengumumkan keputusan rasmi PRN Melaka Ke-16 di Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka.
SPR memaklumkan bahawa keputusan rasmi bagi baki 10 lagi kerusi DUN yang dipertandingkan akan diumumkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.
PRN Melaka Ke-16 diadakan bagi menentukan mandat baharu pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan keseluruhan 28 kerusi DUN.-MalayaDailyToday























































