KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Komisioner Jeneral Penjara memindahkan anak guamnya ke kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dengan segera sebagaimana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Firma guaman Tetuan Shafee & Co turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik keputusan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah berkenaan serta-merta.
“Perintah Seri Paduka Baginda mesti dilaksanakan hari ini. Pendirian anak guam kami berhubung kesan undang-undang perintah pengampunan bersyarat secara keseluruhannya dan berkaitan hukuman yang dikenakan ke atas beliau kekal terpelihara, begitu juga semua hak beliau,” katanya dalam kenyataan.
Menurut pasukan pembelaan Najib, sehingga kenyataan ini disiarkan, anak guamnya masih berada di Penjara Kajang dan titah Yang di-Pertuan Agong belum dilaksanakan.
“Agong juga bertitah sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan menjurus ke arah mengingkari perintah baginda.
“Kenyataan AGC tengah hari tadi, perlu dibaca sebagai keingkaran nyata terhadap Agong,” jelasnya.
Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, adalah menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jelas kenyataan itu, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Dalam pada itu, ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tetuan Shafee & Co menegaskan, titah berkenaan menjawab setiap persoalan dibangkitkan AGC.
Malah, menegaskan perintah mahkamah tidak boleh mengubah titah Yang di-Pertuan Agong.
“AGC bersandar kepada Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 November 2026. Perintah itu mesti dibaca secara keseluruhannya, bermula dengan tajuknya.
“Ia merupakan perintah yang dibuat berikutan pembayaran denda, dan pelepasan yang dibenarkannya terbit daripada pembayaran itu, sebagaimana tercatat dalam resital perintah itu: “dan bahawasanya denda tersebut … kini telah pun dibayar.”
“Di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda itu. Pembayaran itu, dengan sendirinya, tidak boleh menamatkan hukuman pemenjaraan.
“Perintah sama turut merekodkan anak guam kami hendaklah menjalani hukuman secara tahanan di rumah selaras dengan Perintah Pengampunan, seperti diakui AGC semalam,” katanya.
Tambah pasukan pembelaan Najib, perintah pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Kuasa tersebut adalah milik Seri Paduka Baginda semata-mata. Tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara, yang berhak membuka semula persoalan mengenai cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa tersebut setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan yang turut disertai secara aktif oleh Peguam Negara sendiri,” katanya.-MalayaDailyToday























































