KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan, mengetepi mahupun berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Jelas AGC, persoalan yang dibangkitkan oleh pihaknya bukan mengenai kesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan.
Sebaliknya, persoalan yang memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Persoalan ini timbul susulan pembayaran denda sebanyak RM50 juta pada 6 November 2026 dan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang sama.
“Perintah tersebut antara lain, menyatakan: ‘Dan memandangkan denda berjumlah RM50 juta berkenaan sudah dibayar kepada mahkamah ini, maka dengan ini pihak berkenaan diberi kuasa untuk melepaskan Najib dengan serta-merta’,” jelas kenyataan itu.
AGC berkata, pada masa sama, perintah berkenaan turut menyatakan Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Justeru, katanya, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan berkenaan, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah, atau sama ada perintah itu membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International sudah selesai.
“Persoalan ini mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan hukuman penjara dalam kes berkenaan hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
“Tambahan pula, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu,” katanya.
Menurut AGC, sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, maka tidak timbul persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman berkenaan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Sebaliknya, sekiranya hukuman SRC International sudah selesai dari segi undang-undang, maka perlu ditentukan kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB.
“Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,” katanya.
Jelasnya, AGC mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tetuan Shafee & Co., peguam yang mewakili Najib, semalam berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu dan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah.
AGC juga memandang serius beberapa dakwaan yang terkandung dalam kenyataan media berkenaan, khususnya dakwaan Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasanya, mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, mengetepikan perintah mahkamah serta menyebabkan penahanan Najib secara tidak sah.
“Dakwaan berkenaan adalah serius dan perlu diperjelas supaya masyarakat tidak mendapat gambaran yang salah mengenai kedudukan undang-undang sebenar,” katanya.
AGC berkata, pihaknya turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang adalah suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan baginda.
Katanya, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara yang berbeza.
“Mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah berkenaan.
“Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan bahawa Peguam Negara sudah mengambil alih prerogatif pengampunan baginda.
“AGC berpandangan bahawa saluran yang sewajarnya untuk menyelesaikan persoalan ini ialah melalui Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, supaya keputusan dan arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi,” katanya.
Katanya, persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa penjara hendaklah ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah yang terpakai.
“Sebarang dakwaan atau sindiran bahawa Peguam Negara atau pihak tertentu mengarahkan pihak berkuasa penjara bertindak secara tidak sah tidak seharusnya dikemukakan sebagai suatu kesimpulan tanpa asas fakta yang jelas,” katanya.
Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, adalah menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.-MalayaDailyToday
























































