KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan memaklumkan langkah ini bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Jelas PMO, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan,” jelas PMO.
Menurut PMO, pendirian Kerajaan MADANI adalah tegas dan akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Beliau berkata, cadangan penggunaan aplikasi itu dibincangkan sewaktu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026.
Katanya, Langkah alternatif itu dicadangkan berikutan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Israel.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.
Dalam mesyuarat JKSN semalam, turut dibincangkan adalah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pascakuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).-MalayaDailyToday

























































