JAKARTA – Indonesia menabur sebanyak 2.4 tan ais kering di ruang udara Sumatera Selatan menerusi operasi pengubahsuaian cuaca selama dua hari bagi mengurangkan jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di wilayah berkenaan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, operasi yang berlangsung dari 15 Oktober hingga semalam itu menumpukan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang selepas jarak penglihatan terjejas teruk.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan tiga penerbangan dengan jumlah masa penerbangan selama tujuh jam tiga minit.
Menurut Berton, penggunaan ais kering sedang diuji sebagai kaedah alternatif untuk menyuraikan jerebu dengan melemahkan keadaan atmosfera yang memerangkap asap berhampiran permukaan tanah yang berpotensi meningkatkan Jarak penglihatan.
“Jarak penglihatan di lapangan terbang meningkat daripada 1,000 meter kepada kira-kira 3,000 meter ketika operasi dijalankan, sekali gus mewujudkan keadaan lebih selamat bagi operasi penerbangan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kajian lanjut masih diperlukan bagi menentukan sama ada peningkatan jarak penglihatan itu berpunca secara langsung daripada rawatan ais kering atau faktor cuaca lain.
Sumatera Selatan merupakan antara enam wilayah keutamaan pencegahan kebakaran hutan di Indonesia, dengan 189 titik panas direkodkan di wilayah itu setakat malam tadi. -MalayaDailyToday




















































