JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan seramai 16,971 anggota pasukan keselamatan dan penyelamat dalam operasi darat berskala besar bagi memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan ketika jerebu tebal mengancam kesihatan awam.
Media melaporkan Pemangku Ketua Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton Panjaitan berkata, operasi darat kini diberi keutamaan mutlak berikutan jarak penglihatan yang terhad menjejaskan operasi pemadaman kebakaran menggunakan helikopter.
Seramai 4,686 anggota ditugaskan di Kalimantan Tengah manakala 12,285 anggota lagi berada di Sumatera Selatan, iaitu dua wilayah yang dikenal pasti sebagai zon merah krisis berkenaan.
Setakat 13 Oktober lalu, operasi pemadaman di darat meluas ke kawasan seluas 521.69 hektar di Kalimantan Tengah, merangkumi sektor kritikal dalam Taman Negara Tanjung Puting dan Kabupaten Seruyan.
Kementerian Perhutanan Indonesia melaporkan jumlah titik panas di enam wilayah keutamaan melonjak hampir dua kali ganda kepada 294 lokasi berbanding 148 lokasi sehari sebelumnya, membawa kepada jumlah keseluruhan 372 titik panas di seluruh negara.
Kalimantan Tengah mencatatkan angka titik panas tertinggi iaitu 130 lokasi, disusuli Sumatera Selatan (91), Kalimantan Barat (59), Jambi (sembilan), dan Kalimantan Selatan (lima).
Bagi menangani jerebu tebal di Sumatera Selatan, kerajaan Indonesia dijadual menguji kaedah penyebaran 1.5 tan ais kering di ruang udara Palembang menerusi kerjasama teknologi dengan Thailand bagi meningkatkan jarak penglihatan daripada 1,000 meter kepada 5,000 meter atas arahan Presiden Prabowo Subianto.
Dilaporkan, kaedah berkenaan boleh diperluas ke wilayah lain yang terjejas sekiranya terbukti berkesan.
Dalam pada itu, BNPB mengesahkan bahawa misi pemadaman kebakaran oleh pasukan bantuan dari Jepun di Kalimantan telah tamat secara rasmi pada 29 September lalu selepas menyempurnakan tempoh penugasan selama 14 hari.
Katanya, Jepun telah memaklumkan secara rasmi kepada Indonesia mengenai tamatnya misi itu serta menyerahkan laporan operasi.
Berton turut menjelaskan bahawa sebarang tawaran bantuan antarabangsa perlu dikemukakan melalui saluran rasmi kerajaan dengan memperincikan jumlah anggota, peralatan dan tempoh penugasan.-MalayaDailyToday






















































