KUALA LUMPUR – “Jangan sampai kebencian politik mengatasi rasa hormat terhadap agama.”
Itu mesej tegas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Shafi Muhammad, yang mengecam sindiran akaun Facebook Lim Sian See terhadap petikan ayat al-Quran yang dibaca Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027.
Saifuddin berkata, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kenyataan berkenaan disiasat, sambil menegaskan perbezaan politik tidak boleh dijadikan lesen untuk mempermainkan kesucian agama Islam.
“Perbezaan pandangan politik bukan lesen untuk mempermainkan sensitiviti agama atau menjadikan Perdana Menteri sasaran serangan yang tidak wajar,” tegasnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota KEADILAN akan digerakkan untuk membuat laporan polis supaya kenyataan asal dan keseluruhan konteksnya dapat diteliti secara telus oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur pelanggaran undang-undang, bukannya membiarkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama berlarutan tanpa penelitian sewajarnya.
“Jika jelas terdapat unsur pelanggaran undang-undang, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan manusia kurang ajar seperti ini tidak mendapat tempat dalam masyarakat,” tegasnya lagi.
Saifuddin turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk mencetuskan provokasi agama, lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan seperti Malaysia.
Katanya, kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan boleh disuarakan melalui hujah dan perbahasan dasar, tetapi tidak sepatutnya disertai tindakan yang mempermainkan perkara suci bagi penganut agama lain.
Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen agama dan kaum demi kepentingan politik kerana tindakan sedemikian berisiko mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan bahawa tindakan individu berkenaan tidak mencerminkan keseluruhan masyarakat Cina dan berharap isu itu tidak dijadikan alasan untuk membangkitkan permusuhan antara kaum.
Kontroversi itu tercetus susulan hantaran Lim Sian See yang memaparkan petikan Surah al-Hashr, ayat 18, bersama huraian perkataan Arab “lighad”, yang merujuk kepada hari esok.
Dalam hantaran itu, Lim menulis: “Yang saya tengok ialah ada ‘Lighad’ yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada ‘Liwat’ pula.”
Sindiran tersebut membandingkan perkataan “lighad” dengan “liwat” dan mencetuskan bantahan Saifuddin, yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak wajar kerana menyentuh sensitiviti agama.
Anwar membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu. Hantaran berkenaan kemudiannya mencetuskan reaksi Saifuddin, yang kini mahu perkara itu dibawa kepada pihak berkuasa untuk disiasat mengikut undang-undang. -MalayaDailyToday





















































