KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan sebagai salah satu syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keadaan itu berpunca antaranya kerana akaun bank milik bekas Perdana Menteri tersebut telah dibekukan.
“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya. Beliau tidak mampu membayar,” katanya selepas prosiding mahkamah membabitkan Najib di sini hari ini.
Menurut Shafee, antara akaun yang dibekukan ialah akaun Affin Bank yang sebelum ini digunakan Najib untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
Beliau berkata, pembekuan akaun tersebut menyebabkan Najib berdepan kesukaran untuk memenuhi syarat pembayaran denda berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafee berkata, Najib tidak pernah meminta sumbangan daripada orang awam bagi mengumpulkan wang untuk membayar denda RM50 juta tersebut.
Katanya, Najib berada dalam keadaan serba salah kerana perlu menjelaskan denda berkenaan sebagai salah satu syarat pengampunan, namun pada masa sama tidak mempunyai kemampuan untuk membayarnya.
“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya.
Shafee turut mengakui tidak mengetahui jumlah sebenar sumbangan yang mungkin telah dikumpulkan bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, Najib juga masih belum menerima surat rasmi berkaitan pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Perkembangan itu berlaku ketika pelaksanaan syarat berkaitan pengampunan bersyarat Najib menjadi perhatian, khususnya berhubung pembayaran denda RM50 juta dan mekanisme tahanan rumah bagi baki hukuman beliau. -MalayaDailyToday


























































