KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung keputusan pengampunan bersyarat dan tahanan di rumah yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Rafizi menegaskan bahawa kepimpinan kerajaan tidak seharusnya berpeluk tubuh atau memberi alasan bahawa keputusan berkenaan berada di luar kawalan mereka, memandangkan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan asas penting yang memberi mandat politik kepada PH.
“Adalah menjadi tanggungjawab YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH dari PKR, DAP dan AMANAH untuk memberi penjelasan yang sebaiknya, serta tidak mengulangi hujah yang sama iaitu perkara ini adalah di luar kawalan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut memohon pihak kerajaan agar sekurang-kurangnya mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya masyarakat umum boleh menjadi ‘mata dan telinga’ dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat berlaku.
Menurut Rafizi, tindakan menjelaskan perkara berkenaan amat wajar dilakukan bagi menenangkan hati pelbagai lapisan rakyat, terutamanya mereka yang kecewa dengan keputusan tersebut serta individu-individu tidak bernama yang pernah berjuang membongkar skandal 1MDB.
“Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka dari skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menambah bahawa sementara beliau berlapang dada menerima keputusan rasmi yang telah dibuat, pelaksanaan proses tahanan di rumah berkenaan sebaik-baiknya dijalankan secara senyap bagi mengelakkan reaksi negatif berterusan daripada awam. -MalayaDailyToday






















































