KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dijadualkan mengadakan mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang ini bagi membincangkan perkembangan terbaharu berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Pertemuan ‘Top 3’ PH itu dijadualkan berlangsung pada kira-kira jam 5.30 petang, dengan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mesyuarat itu dipercayai bagi mendapatkan taklimat dan membincangkan implikasi keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Dalam pertemuan itu, DAP juga dijangka menyuarakan pendirian berhubung kedudukannya dalam Kabinet, termasuk kemungkinan untuk menarik diri daripada kerajaan susulan keputusan terbaharu membabitkan Najib.
Difahamkan setakat ini, Anthony Loke, Gobind Singh Deo dan Hannah Yeoh dikatakan sudah bersedia untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet, namun perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.
Perkembangan itu dijangka menjadi antara perkara utama yang mendapat perhatian dalam pertemuan petang ini, khususnya berhubung hala tuju DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebarang keputusan rasmi hanya dijangka diketahui selepas perbincangan selesai, termasuk sama ada DAP akan mengambil langkah meninggalkan Kabinet atau meneruskan penyertaannya dalam kerajaan. -MalayaDailyToday
























































