BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul memberi amaran keras kepada warga asing supaya tidak melanggar undang-undang atau mengambil kesempatan terhadap rakyat tempatan.
Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, warga asing dialu-alukan untuk tinggal dan mencari rezeki di Thailand selagi mereka berbuat demikian secara jujur, mematuhi undang-undang dan menghormati rakyat negara itu.
Bagaimanapun, beliau menggunakan bahasa yang lebih keras ketika menyentuh isu permohonan mewujudkan tanah perkuburan persendirian oleh warga asing di Thailand.
“Baru-baru ini saya mendapat tahu terdapat permohonan untuk mewujudkan tanah perkuburan persendirian. Ini sudah keterlaluan dan melampaui batas.
“Kalau mahu mati, baliklah mati di negara sendiri. Tidak perlu mati di sini. Dan jangan ambil kesempatan terhadap kami,” katanya seperti dipetik media Thailand.
Kenyataan itu dibuat ketika Anutin menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan dasar Kementerian Dalam Negeri pada Khamis.
Dalam taklimat itu, beliau turut mengarahkan gabenor wilayah meningkatkan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang Thailand.
Anutin turut membangkitkan isu penubuhan tempat ibadat tanpa kelulusan sewajarnya dan meminta perkara itu diberi perhatian pihak berkuasa.
Beliau mendakwa terdapat premis yang memohon kebenaran untuk beroperasi sebagai restoran tetapi turut digunakan sebagai tempat ibadat.
Menurut Anutin, warga asing yang tinggal dan bekerja di Thailand perlu mematuhi peraturan serta tidak menyalahgunakan peluang yang diberikan negara itu.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap warga asing yang melakukan kesalahan atau menjalankan aktiviti tanpa kelulusan sewajarnya.
Amaran itu disampaikan ketika kerajaan Thailand memberi perhatian terhadap pematuhan undang-undang oleh warga asing, termasuk berkaitan penggunaan tanah, operasi premis dan kegiatan yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa. -MalayaDailyToday

























































