KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan dunia kini berada dalam keadaan “turmoil” atau kacau-bilau, dengan peperangan, pembunuhan pemimpin, konflik geopolitik dan ketidakstabilan politik berlaku tanpa penyelesaian yang jelas.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Mahathir berkata beliau sukar mengulas perkembangan semasa dunia kerana terlalu banyak perkara pelik berlaku dan kebanyakannya, menurutnya, tidak membawa kebaikan kepada manusia.
Beliau menyorot dua peperangan yang disifatkannya tidak perlu, namun telah mengorbankan puluhan ribu nyawa selain menyebabkan kecederaan serta kemusnahan harta benda dalam jumlah besar.
“Tiada apa yang diperoleh. Tiada siapa berbuat apa-apa,” katanya dalam hantaran itu.
Mahathir turut membangkitkan isu seorang pemimpin negara yang dipilih melalui pilihan raya ditahan oleh negara lain, selain pembunuhan pemimpin yang negaranya tidak berperang dengan pihak yang melakukan pembunuhan.
Beliau berkata perkembangan konflik di Timur Tengah turut membimbangkan, termasuk serangan terhadap sesebuah negara yang kemudiannya mencetuskan peperangan serta serangan balas terhadap pangkalan pihak yang dianggap sebagai agresor.
Mahathir turut menyentuh konflik Israel-Palestin dengan menyifatkan perang di Gaza sebagai “war-genocide”, sambil mendakwa serangan terhadap Gaza berterusan walaupun dalam tempoh gencatan senjata.
Beliau berkata angka korban di Gaza kini mencecah 73,000 orang, manakala sebahagian besar bandar Gaza telah musnah akibat peperangan.
Namun, Mahathir berkata penduduk Gaza masih berusaha meneruskan kehidupan, termasuk menganjurkan acara sukan seperti maraton, bola sepak dan kelas karate, selain beralih kepada pekerjaan lain seperti mengusahakan gerai serta membuka kedai.
Mengenai perang Rusia-Ukraine, Mahathir menyifatkannya sebagai perang yang “silly”, dengan alasan Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia, namun konflik itu tetap mengorbankan ribuan nyawa dan memusnahkan seluruh bandar.
Mahathir turut menyentuh perkembangan dalam negara, termasuk banyak kes mahkamah serta keputusan penghakiman yang disifatkannya sebagai “funny”.
Beliau mendakwa terdapat keadaan individu yang melakukan kesalahan kecil dihukum, manakala mereka yang mencuri jutaan ringgit dibebaskan dan kemudiannya dilantik ke jawatan tinggi.
“Pemimpin-pemimpin pelik memimpin banyak negara. Mereka juga membuat keputusan yang pelik,” katanya.
Mahathir mengakhiri hantaran itu dengan menyifatkan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia sebagai peristiwa yang tidak berkesudahan, sambil mempersoalkan sikap masyarakat dan kerajaan terhadap keadaan berkenaan.
“Tiada siapa nampaknya peduli,” katanya. -MalayaDailyToday
































































