MELAKA – Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran bersempena dengan Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.
Memetik laporan daripada Berita Harian, Fadhlina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri.
Turut menerima D.G.S.M ialah Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman, serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Penerima lain yang dikurniakan darjah sama termasuk Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Sementara itu, penyanyi terkemuka tanah air, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali sebagai Ziana Zain, merupakan antara 189 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima anugerah D.P.S.M yang membawa gelaran Datuk termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail dan Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhiddin.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan 56 individu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira, manakala 14 individu dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk. -MalayaDailyToday






























































