PUTRAJAYA – Kualiti udara di Sarawak merosot hari ini apabila sembilan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala Serian merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 227 setakat jam 2 petang.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata sebanyak 56 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan status kualiti udara sederhana, manakala dua kawasan berada pada tahap baik.
Selain Serian, Sri Aman mencatat IPU 187, Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu (154), Samalaju (154), Kapit (130) dan Mukah (130).
JAS berkata kemerosotan kualiti udara itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, dengan peningkatan kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat melibatkan beberapa kawasan di Sarawak.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 20 Ogos, sebanyak 288 titik panas dikesan di Kalimantan, 53 di Sumatera dan dua di Malaysia, masing-masing satu di Sarawak dan Terengganu.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada 21 Ogos pula menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, kecuali hujan di bahagian timur laut Borneo dan utara Sumatera.
JAS berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Kepulan asap sederhana hingga padat turut dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di kebanyakan kawasan di Kalimantan, manakala kepulan asap ringan hingga sederhana diperhatikan di bahagian tengah dan selatan Sumatera.
Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, bahagian barat serta tengah Sarawak dan selatan Sumatera turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
JAS berkata pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu negara.
Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat akan diaktifkan oleh NADMA apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
Operasi Pembenihan Awan pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
JAS turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri bagi mencegah kejadian pembakaran terbuka.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya. -MalayaDailyToday
































































