KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Malaysia Aviation Group (MAG) akan memperkukuh kerjasama strategik bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia, khususnya menerusi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang dilanjutkan hingga 2027.
Kerjasama itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Sri Tiong King Sing dan Ketua Setiausaha MOTAC Dato’ Shaharuddin Abu Sohot bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar di Putrajaya, semalam.

MOTAC berkata antara fokus utama ialah memperkasakan promosi bersama antara MOTAC, Tourism Malaysia dan MAG bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa.
Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada peluasan jaringan penerbangan dan pasaran antarabangsa, termasuk India, China dan Eropah, selain meneroka destinasi baharu seperti Fukuoka.
MOTAC dan MAG juga akan memperkukuh strategi pemasaran serta promosi penerbangan, termasuk kerjasama ketika musim rendah bagi meningkatkan permintaan dan faktor muatan penerbangan.

Dalam masa sama, kerjasama berkenaan turut memberi perhatian kepada pengukuhan ekosistem pelancongan domestik dengan meningkatkan manfaat kepada pemain industri tempatan termasuk pengusaha makanan, pengangkutan, logistik dan perniagaan setempat.
Menurut MOTAC, aspek pengalaman penumpang turut dibincangkan, termasuk penambahbaikan kabin, perkhidmatan, sajian dalam penerbangan serta latihan kru kabin.
Kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri penerbangan dan pemain pelancongan dilihat dapat membantu memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan serta memberi impak kepada ekonomi dan industri pelancongan negara. -MalayaDailyToday
































































