LONDON: Kira-kira 280 penghuni terpaksa dipindahkan akibat kebakaran besar di sebuah hotel tepi laut di Kent, United Kingdom (UK), kata pihak berkuasa.
Media antarabangsa melaporkan kebakaran di Grand Burstin Hotel yang terletak di Folkestone berlaku pada awal pagi tadi.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kent memaklumkan sebanyak 26 jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran yang dipercayai bermula di bahagian bawah tanah hotel berkenaan.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, Majlis Daerah Folkestone dan Hythe memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara ditubuhkan di Three Hills Sports Park bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Jelasnya, penduduk berhampiran lokasi kejadian juga telah dinasihatkan supaya menutup pintu dan tingkap bagi mengurangkan kesan asap tebal, selain mengelakkan kawasan hotel tersebut.
“Kami sedang membantu seluruh agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi ini bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” kata pihak majlis daerah itu.
Sementara itu, jurucakap Britannia Hotels Group selaku pengendali Grand Burstin Hotel memaklumkan pihaknya mengambil tindakan pantas bagi memastikan keselamatan semua tetamu serta kakitangannya.
“Kami juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyokong mereka yang terjejas,” tambahnya.-MalayaDailyToday























































