DHAKA – Angka kematian akibat penyakit demam campak dan gejala seakan-akan demam campak meningkat kepada 1,030 kes di Bangladesh selepas lapan lagi kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia.
Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) di Bawah Kementerian Kesihatan memaklumkan empat kes kematian baharu dilaporkan di ibu kota Dhaka.
Media antarabangsa melaporkan sebanyak 482 kematian direkodkan di bahagian Dhaka sahaja.
Sementara itu, jumlah kes bergejala mencecah 172,720 manakala kes disahkan pula mencatatkan 20,124.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara Asia Selatan yang padat dengan penduduk sekitar 175 juta orang itu bergelut untuk mengekang penularan wabak berkenaan di tengah-tengah liputan pemvaksinan yang rendah.
Jelasnya, Bangladesh sebelum ini mempunyai imuniti kelompok terhadap penyakit demam campak, namun ia mula merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan penurunan kadar liputan vaksinasi. – MalayaDailyToday



























































