KUALA LUMPUR – Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan sejak 2023 terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan pengamal media, dengan 725 individu menerima bantuan setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan mencecah RM2.114 juta, sekali gus mencerminkan komitmen kementerian dalam mengiktiraf sumbangan wartawan sebagai “wira tak didendang”.
Menurutnya, memasuki tahun ketiga pelaksanaan, inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban pengamal media, malah membuka mata masyarakat terhadap cabaran sebenar profesion berkenaan.
“Melalui tabung ini, kita dapat mengenal pasti pengamal media yang sakit, berdepan masalah kesihatan, ditimpa musibah atau kemalangan, sekali gus memahami kesulitan yang mereka hadapi.
“Ramai tidak sedar, wartawan ini sebenarnya wira yang tidak didendang. Mereka bekerja di sebalik pena dan kamera, jarang diberi perhatian, tetapi melalui Tabung Kasih@HAWANA, kita angkat mereka sebagai figura utama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada bekas wartawan Harian Metro, Ahmad Ismail, 67, di Kampung Lubuk Batu, yang berdepan masalah kesihatan termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi sejak 2012.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dilancarkan pada April 2023 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Fahmi menegaskan, kementerian akan terus komited memperluas bantuan kepada pengamal media di seluruh negara, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan.
“Selepas lebih dua tahun pelaksanaan, ini antara usaha berterusan kita untuk menyokong rakan media dengan mengenal pasti mereka yang memerlukan melalui kerjasama Bernama dan Gabungan Kelab Media Malaysia,” katanya. -MalayaDailyToday


























































