KUALA LUMPUR – Hubungan udara yang semakin kerap dan meluas antara Malaysia dan China dilihat menjadi pemangkin penting kepada peningkatan aliran pelancong antara kedua-dua negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pengukuhan rangkaian penerbangan termasuk penambahan laluan dan kekerapan oleh syarikat penerbangan China mencerminkan keyakinan pasaran republik itu terhadap Malaysia sebagai destinasi utama.
“Kesalinghubungan udara adalah asas pertumbuhan pelancongan. Apabila akses lebih mudah, lebih terus dan lebih kerap, ia memudahkan pelancong membuat pilihan dan merancang perjalanan ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut jadual terkini, China Eastern akan terus meningkatkan perkhidmatan ke Malaysia bagi musim sejuk 2025 dengan memanfaatkan rangkaian luas bandar teras di China. Anak syarikatnya, Shanghai Airlines, kini mengendalikan laluan ke Malaysia dari Shanghai, Beijing, Wuhan, Hangzhou, Nanjing, Xi’an dan Kunming.

Selain penerbangan ke Kuala Lumpur, syarikat penerbangan itu turut mengendalikan perkhidmatan Shanghai–Kota Kinabalu dan Shanghai–Pulau Pinang. Kebanyakan laluan beroperasi setiap hari, manakala beberapa perkhidmatan ditingkatkan sementara ketika tempoh puncak seperti musim perjalanan Tahun Baharu Cina bagi menampung permintaan.
Tiong berkata, rangkaian keseluruhan turut berkembang daripada 82 kepada 106 laluan susulan penambahan destinasi baharu dan peningkatan frekuensi.
Beliau memaklumkan, berdasarkan jadual semasa, jumlah penerbangan dua hala antara Malaysia dan China kini mencecah 424 perkhidmatan dalam tempoh empat minggu.
Katanya, peta laluan yang diperluas itu merangkumi wilayah utama di Timur, Utara, Barat Laut dan Timur Laut China, sekali gus membolehkan penumpang terbang lebih mudah dan terus ke pintu masuk pelancongan utama negara termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Tambahnya, pengukuhan hubungan udara ini juga menyokong aliran pelawat antara Semenanjung dan Malaysia Timur, selain meningkatkan kapasiti negara menerima serta mengagihkan pelancong antarabangsa dengan lebih berkesan.
Dalam perkembangan sama, Xiamen Air akan meningkatkan perkhidmatan Kuala Lumpur–Nanjing kepada operasi harian dari 13 hingga 28 Mac 2026, sekali gus menambah kapasiti tanpa henti antara dua bandar berkenaan.
Juneyao Air pula akan melancarkan laluan baharu tanpa henti Wuxi–Kuala Lumpur bermula 19 Mac 2026 dengan kekerapan tiga kali seminggu, manakala Spring Airlines meneruskan dan memperluas tawaran tambang rendah antara beberapa bandar utama China dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Tiong berkata, penambahbaikan berterusan dari segi kapasiti dan pengoptimuman rangkaian akan menyokong pengalaman perjalanan lebih lancar, di samping dijangka menarik lebih ramai pelancong China yang berminat dengan produk pelancongan budaya, makanan, pulau dan eko-pelancongan menjelang VM2026. -MalayaDailyToday
































































