KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh pengalaman perjalanan perniagaan yang lebih lancar dan premium, Batik Air menjalin kerjasama strategik dengan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), pengendali perkhidmatan KLIA Ekspres, bagi menawarkan kemudahan serta keistimewaan eksklusif kepada penumpang Kelas Perniagaan.
Kerjasama ini menjadikan Batik Air satu-satunya syarikat penerbangan yang bekerjasama dengan ERL bagi menawarkan diskaun sehingga 25 peratus kepada penumpang yang membeli tiket Business Class Flexi.
Ini sekali gus menyediakan nilai tambahan dan perjalanan tanpa gangguan antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dengan masa perjalanan hanya 28 minit dari KL Sentral ke KLIA, perkhidmatan KLIA Ekspres membolehkan penumpang menjimatkan masa dan bergerak dengan lebih efisien.
Manakala Batik Air pula melengkapkan pengalaman itu dengan kemudahan daftar masuk keutamaan, elaun bagasi yang besar, pilihan penjadualan semula yang fleksibel serta akses ke ruang istirahat eksklusif.
Bagi meningkatkan lagi kemudahan, penumpang Batik Air kini boleh mendaftar masuk terus di KL Sentral, termasuk menyerahkan bagasi dan mendapatkan pas masuk penerbangan sebelum menaiki tren KLIA Ekspres menjadikan perjalanan dari bandar ke lapangan terbang lebih lancar dan selesa.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata kerjasama ini merupakan langkah penting dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan perniagaan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami mahu setiap perjalanan penumpang bermula dengan keyakinan dari pusat bandar hingga ke pintu pesawat.
“Kerjasama bersama ERL ini membolehkan kami menawarkan pengalaman perjalanan menyeluruh yang benar-benar lancar dan efisien,” katanya.
Melalui gabungan dua jenama ini, penumpang Kelas Perniagaan Batik Air kini menikmati keselesaan dan kebolehpercayaan berterusan sepanjang perjalanan mereka satu standard baharu dalam pengalaman perjalanan perniagaan di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari www.batikair.com atau muat turun aplikasi mudah alih Batik Air hari ini. -MalayaDailyToday




























































