September 3, 2024
#BERITA

MB Selangor akan berikan kerjasama dengan pihak berkuasa, nafi dakwaan Chegu Bard – Saifuddin Shafi

SHAH ALAM – Dakwaan kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari telah memberikan kelulusan tanah kerajaan negeri kepada Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard adalah tidak benar sama sekali.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad, Amirudin sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan namanya dibersihkan daripada dakwaan tersebut.

“Saya telah meneliti hantaran di laman Facebook berkaitan laporan polis yang dibuat Chegu Bard yang mendakwa YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor telah meluluskan tanah kepada syarikat beliau sendiri.

“Dakwaan beliau kononnya disokong dengan dokumen di mana Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan 100.04 ekar tanah di Dengkil kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd.

“Pejabat MB terbuka dan sedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi usaha membersihkan nama Menteri berkaitan dakwaan mengkal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Saifuddin lagi, beliau amat yakin dakwaan seumpama ini adalah tuduhan ulang siar yang tidak jauh beza dengan sebelum ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN 15).

“Tuduhan diputar belit dengan menamakan Menteri Besar pula. Taktik ini tidak lain merupakan cubaan terdesak pihak tertentu menjelang Pilihanraya Kecil N06 Kuala Kubu Bharu yang sangat mudah dibaca jalan cerita dan skripnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin juga memaklumkan pihaknya kini sedang meneliti dakwaan itu sebelum tindakan perundangan kelak.

“Dengan beberapa fakta salah dan tersasar yang dikenalpasti melalui hantaran beliau terdahulu, kami dengan segala hormatnya mengalu-alukan beliau untuk menyertai kelompok individu yang akan disaman.

“Saman ini sama seperti yang sedang dihadapi oleh seorang kenamaan di negeri utara tanah air berikutan kedangkalan fakta dalam melancar serangan politik murahan,” ujarnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday