KUCHING – Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King menafikan laporan berita yang mendakwa beliau kononnya terbuka untuk penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Sebaliknya kata King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hakikatnya kenyataan beliau sebenarnya merujuk secara umum bahawa pihaknya terbuka dengan mana-mana parti menyertai PDP adalah untuk kesejahteraan negara khususnya Sarawak.
“Saya tidak buat kenyataan tentang parti PRS. Kenyataan saya adalah umum kepada mana-mana parti dan semua parti bebas mengadakan perbincangan mengenainya.
“Ketika saya disoal wartawan tentang komen Ahli Parlimen Julau tentang prospek penggabungan PDP-PRS secara umum juga. Itu sahaja, komen-komen saya umum kepada semua,” katanya hari ini.
Sambung beliau, pintu PDP sentiasa terbuka dengan mengalu-alukan semua dengan fokus semua menjadi satu pasukan bagi menjaga kesejahteraan negeri Sarawak.
“Tidak ada faedah langsung andai ada yang cuba kusutkan isu atau mempolitikan perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, Marilah kita berfikir dengan ke depan tentang betapa pentingnya untuk maju dan memajukan negeri kita sayang tanpa sebarang komplikasi,” tegasnya.
Pada 7 April lepas, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng menzahirkan harapan agar PDP dan PRS akan bergabung satu hari memandangkan kedua-dua parti mempunyai hubungan sejarah dan ia akan mengukuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perjuangan Dayak.
Tiong berkata sesiapa boleh memberi cadangan, namun ia terpulang kepada parti terbabit untuk membuat keputusan berkenaan cadangan dibuat Larry.
Pada 6 April, Tiong mengumumkan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dan dua pemimpin kanan parti itu yang baru dibubarkan, dilantik memegang jawatan tinggi dalam PDP.
Tiong berkata pelantikan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan serta Timbalannya Dr Johnical Rayong Ngipa dan Setiausaha Agung PSB Baru Bian sebagai Naib Presiden PDP, dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti. -MalayaDailyToday
Discussion about this post