October 18, 2024
#UTAMA

MHO desak kerajaan siasat kematian rakyat Malaysia mati dalam tahanan Imigresen Myanmar

KUALA LUMPUR – Seorang mangsa rakyat tempatan yang menjadi mangsa scam penipuan kerja dengan gaji lumayan meninggal dunia kelmarin atas dakwaan serangan jantung di pusat tahanan Imigresen Myanmar.

Lebih malang lagi, mangsa itu sebenarnya sudah berjaya diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia di negara itu sebelum di tahan di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar bagi tujuan dokumentasi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan pihaknya telah berhubung dengan mangsa berusia 28 tahun itu untuk diselamatkan.

“Mangsa berasal dari Kuantan, Pahang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Mangsa berhubung dengan kita dan meminta bantuan untuk diselamatkan. Selepas aduan diterima, wakil MHO di Myanmar membantu dan menyelamatkan mangsa di tempat dia ditahan.

“Selepas diselamatkan dari sindiket itu, mangsa telah dibawa ke pusat imigresen Myanmar bagi tujuan dokumentasi. Tapi kemudian kita terima berita mangsa sudah meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya hari ini.

Sambung Hishamuddin, punca kematian tidak diketahui secara rasmi. Tetapi dimaklumkan kerana serangan jantung tetapi keluarga mangsa mendakwa mangsa tidak ada rekod sakit jantung,” ujarnya.

MHO akan mengadakan satu sidang media berkaitan perkara tersebut pada petang ini.

“Kita telah berjumpa dengan keluarga mangsa sebelum sidang media petang nanti. Ahli keluarga sudah diminta membuat laporan polis serta kepada Kedutaan Malaysia di Mynmar dan Kementerian Luar bagi menggesa siasatan telus dibuat bagi mendapatkan punca sebenar,” tegasnya.

Dalam pada itu sebuah tabung kutipan akan dilancarkan bagi membantu menguruskan jenazah termasuk menghantar ahli keluarga arwah ke Mynmar. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *