September 3, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Polis wanita ‘viral’ kini ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis wanita yang sering ‘viral’ berikutan pertengkaran di tempat awam ditahan hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.

Kertas siasatan telah dibuka terhadapnya sejak sebuah video viral Khamis berhubung pertengkarannya dengan dua orang anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves tempoh hari.

Menurut Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pegawai itu dipanggil kali pertama semalam ke IPD berkenaan berhubung insiden pertengkaran dengan dua anggota polis Khamis lepas dan dipanggil sekali lagi hari ini.

“Semalam dia dipanggil dan hari ini, dia ditahan di IPD berkenaan berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya,” katanya ringkas.

Difahamkan pegawai itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina.

Pagi ini juga viral satu lagi video ‘baharu’ disiarkan media sosial menunjukkan pegawai polis wanita sedang bertengkar sambil merakam dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.

Susulan itu, seorang wanita bertindak membuat laporan polis kelmarin dengan mendakwa pegawai berkenaan memarahinya dan keluarga selain turut menuding jari ke arah kepalanya.

Dalam kejadian itu turut difahamkan hampir kejadian tidak diingini berlaku antara orang awam tersebut dan pegawai polis itu namun telah dihalang orang ramai yang berada di kawasan parkir. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday