September 4, 2024
#BERITA

Usia persaraan kakitangan bank komersial kini 61 tahun

KUALA LUMPUR – Perjanjian kolektif (CA) yang baharu ditandatangani oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) dengan Persatuan Bank Komersial Malaysia telah menyenaraikan usia persaraan baharu kakitangan bank komersial di negara ini naik kepada 61 tahun.

Ini sekaligus menyaksikan usia persaraan penjawat sektor berkenaan setahun lebih lebih tua berbanding kakitangan sektor lain di negara ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Soloman, berkata usia persaraan terkini dalam CA baharu itu merangkumi kakitangan bank komersial yanng berkhidmat sepenuh masa dan tidak membabitkan mereka yang bekerja secara kontrak.

“Kakitangan akan dianggap sepenuh masa dan bukan kontrak untuk tahun tambahan itu, yang bermakna mereka akan menerima semua faedah sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Awal bulan lalu, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan pekerja dibenar bekerja sehingga umur 65 tahun atas kerelaan sendiri bagi memastikan mereka dapat mengurangkan tekanan ekonomi dalam tempoh persaraan. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday