KUANTAN – Sebuah lori tiga tan yang membawa mesin dan peralatan endoskopik dilaporkan terbakar di hadapan Klinik Pakar, Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini pada pukul 4.15 petang semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menerusi kenyataan memaklumkan kejadian berkenaan tidak menjejaskan mesin dan peralatan endoskopik tersebut, selain tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
“Pasukan Tindakan Kecemasan hospital berkenaan mengambil tindakan awal sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi dan memadamkan kebakaran sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
JKNP berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak jabatan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 4.18 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan bersama enam anggota tiba di lokasi enam minit kemudian.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lori tersebut musnah terbakar kira-kira 80 peratus dan pasukan bomba menggunakan dua aliran hos dari tangki jentera bagi memadamkan kebakaran sepenuhnya.-MalayaDailyToday

























































