MANILA – Bapa kepada Duchess of Sussex, Meghan Markle iaitu Thomas Markle Sr. berdepan tindakan undang-undang selepas Polis Nasional Filipina (PNP) memfailkan aduan jenayah terhadapnya berhubung dakwaan pemilikan serta pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Jurucakap PNP, Brigedier Jeneral Allen Rae Co seperti dipetik portal tempatan, GMA News Online berkata, aduan berkenaan membabitkan pelanggaran Akta Antipenderaan atau Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak Dalam Talian (OSAEC) dan Akta Antibahan Penderaan atau Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak (CSAEM).
Aduan berkenaan difailkan Unit Lapangan Visayas, Pusat Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak di Pejabat Pendakwa Raya pada Isnin lalu.
Co berkata, aduan tersebut akan melalui proses penilaian manakala pegawai penyiasat masih meneruskan pemeriksaan terperinci terhadap peranti digital yang dirampas sepanjang siasatan.
“Bukti tambahan boleh dikemukakan bagi menyokong aduan jenayah yang difailkan atau digunakan untuk mengemukakan pertuduhan tambahan sekiranya perlu,” katanya.
Markle, 82, menetap di negara ini selama kira-kira sembilan hingga 10 bulan bermula tahun lalu.
Terdahulu, pihak berkuasa menemukan kira-kira 7,500 keping gambar serta satu klip video yang memaparkan kanak-kanak lelaki dan perempuan bawah umur berketurunan Asia, Latin serta Eropah daripada peranti digital yang dikaitkan dengan Markle.-MalayaDailyToday

























































