KUALA LUMPUR – Presiden Perancis, Emmanuel Macron meluangkan masa bersiar-siar di sekitar ibu kota hari ini dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik jadual padat lawatan rasminya ke negara ini.
Bernama melaporkan ketibaan kedua-dua pemimpin itu di Petaling Street kira-kira pukul 2 petang, turut disertai delegasi serta pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara dengan kawalan keselamatan ketat.
Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dalam kunjungan santai kira-kira 30 minit itu, Anwar dan Macron berjalan kaki menyusuri deretan kedai sambil meninjau aktiviti perniagaan serta keunikan suasana di kawasan tersebut.
Kedua-dua pemimpin itu turut melawat Tokong Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam iaitu dua rumah ibadat bersejarah yang terletak berhampiran antara satu sama lain di Jalan Tun H.S. Lee.
Anwar juga dilihat memberikan penerangan kepada Macron mengenai kepelbagaian budaya, produk tempatan serta sejarah kawasan perniagaan bersejarah itu.
Selain itu, kedua-dua pemimpin sempat melambai dan beramah mesra dengan orang ramai serta pelancong asing yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
Kunjungan santai tersebut merupakan antara pengisian lawatan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017 bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala.
Untuk rekod, Perancis merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada tahun lalu, meningkat 11 peratus berbanding 2024.-MalaysiaDailyToday

























































