SHAH ALAM – Banjir kilat susulan hujan lebat petang tadi menyebabkan Persimpangan Bukit Raja di sini ditutup, selain beberapa lebuh raya utama di Selangor mengalami kesesakan teruk selepas dinaiki air.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kemas kini di platform X memaklumkan, Persimpangan Bukit Raja arah selatan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Seksyen 7 di sini ditutup berikutan kejadian banjir.
Menurut PLUS, air turut melimpah di kawasan luar fasiliti penyelenggaraannya berhampiran Seksyen 7 dan i-City, sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Keadaan trafik sesak. Pandu dengan berhati-hati,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di sepanjang Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Menerusi kemas kini di media sosial, LLM memaklumkan banjir menjejaskan Kilometer (KM) 27.3 lebuh raya berkenaan arah barat dari Plaza Tol Kemuning sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun tiada lorong terhalang ketika laporan dibuat.
Gambar yang dikongsikan LLM memaparkan sebahagian laluan lebuh raya ditenggelami air banjir berlumpur dengan kon trafik diletakkan di sepanjang lokasi terjejas, manakala beberapa kenderaan berat dilihat masih melalui laluan tersebut.
Dalam kemas kini berasingan, LLM melaporkan banjir kilat turut menjejaskan lorong motosikal di KM 28.0 KESAS arah timur dari Kemuning menuju Bukit Rimau akibat limpahan air, namun keadaan trafik kekal terkawal.
Selain itu, menerusi satu lagi kemas kini, LLM memaklumkan air turut melimpah ke atas jalan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran persimpangan menghubungkan Jalan Meru dengan Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan, tetapi tiada lorong terhalang.
Kejadian tersebut berlaku susulan beberapa laporan banjir kilat di sekitar negeri ini petang tadi termasuk di Shah Alam, Klang, Puncak Alam dan Ijok.-MalayaDailyToday



























































