SHAH ALAM – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam mengalami kelewatan selepas sebatang pokok tumbang akibat cuaca buruk sebelum memasuki kawasan landasan berhampiran Stesen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, petang tadi.
Rapid KL menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku pukul 5.22 petang itu menyebabkan operasi tren di laluan berkenaan terganggu.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan semua penumpang terbabit sudah diturunkan dengan selamat di Stesen Dato’ Menteri.
“Pasukan teknikal kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa serpihan pokok di atas landasan,” katanya hari ini.
Tambah Rapid KL, sebarang perkembangan lanjut berhubung insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi syarikat itu serta aplikasi MyRapid PULSE.-MalayaDailyToday


























































