JAKARTA – Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).
Lapor media Speaker MPR Ahmad Muzani berkata, Gibran menyerahkan sendiri surat berkenaan dalam pertemuan selama kira-kira 20 minit di bangunan Nusantara III, kompleks Parlimen di Jakarta.
Katanya, Gibran turut memaklumkan kepada pucuk pimpinan MPR bahawa surat peletakan jawatannya turut diserahkan kepada Presiden Prabowo Subianto.
“Semasa pertemuan itu, Gibran menjelaskan tujuan beliau bertemu dengan pucuk pimpinan MPR adalah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Republik Indonesia,” katanya.
Ahmad Muzani berkata, Gibran meminta MPR supaya memproses peletakan jawatannya dengan segera.
“Pucuk pimpinan MPR akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi mengambil tindakan susulan terhadap peletakan jawatan itu, sekali gus membolehkan majlis berkenaan mengadakan mesyuarat bersama yang melibatkan pemimpin fraksi MPR dan kumpulan DPD untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Tambahnya, MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari dari tarikh peletakan jawatan Gibran untuk memilih naib presiden baharu, manakala Presiden Prabowo mempunyai tempoh 14 hari selepas MPR mengeluarkan permintaan rasmi untuk mengemukakan dua calon bagi jawatan itu.
Sebelum ini, lebih 100 ahli Parlimen Indonesia menandatangani petisyen bagi memulakan usaha menyingkirkan Gibran, yang berpotensi mencetuskan ketegangan politik baharu di negara itu.
Kedudukan Gibran menjadi perhatian susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung bulan lalu yang mendapati dokumen pendidikannya tidak memenuhi syarat kelayakan pilihan raya.
Mahkamah Perlembagaan memaklumkan tiada bukti kukuh menunjukkan Gibran memiliki kelayakan akademik setara diploma sekolah menengah atas (SMA) dari luar negara yang diiktiraf.
Manakala Mahkamah Agung pula memutuskan sijil tamat sekolah menengah atas yang dikemukakannya ketika mendaftar sebagai calon Pilihan Raya Presiden 2024 adalah tidak sah.
Anak sulung bekas Presiden Joko Widodo itu menjadi naib presiden termuda Indonesia selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada Februari 2024 bersama Prabowo sebelum kedua-duanya mengangkat sumpah jawatan pada 20 Oktober 2024.-MalayaDailyToday
























































