MADRID – Perkhidmatan awam dan rangkaian pengangkutan di seluruh Sepanyol mengalami gangguan besar apabila puluhan ribu rakyat melancarkan mogok umum pertama dalam tempoh 14 tahun bagi membantah krisis perumahan yang semakin meruncing dan peningkatan kos sara hidup.
Media antarabangsa melaporkan demonstrasi besar-besaran yang dianjurkan kesatuan pekerja utama negara itu menarik penyertaan kira-kira 120,000 penunjuk perasaan di ibu negara Madrid dan lebih 50,000 orang di Barcelona.
Demonstrasi itu turut menyebabkan beberapa lebuh raya utama di Madrid dan wilayah Catalonia ditutup akibat sekatan jalan raya.
Dilaporkan, tunjuk perasaan di Barcelona bertukar tegang apabila pertempuran tercetus antara kumpulan penunjuk perasaan bertopeng dengan pasukan keselamatan.
Rakaman di lokasi menunjukkan penunjuk perasaan membakar tong sampah serta memecahkan tingkap premis perniagaan, manakala polis bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan terbabit.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol mengesahkan puluhan individu telah ditahan susulan pelbagai insiden sepanjang protes itu.
Menurut laporan BBC, pemimpin kesatuan pekerja menyifatkan sambutan terhadap mogok kali ini sangat menggalakkan, sekali gus mencerminkan kemarahan memuncak rakyat terhadap beban kos hidup harian.
Gelombang bantahan itu tercetus susulan pengusiran seorang wanita warga emas berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal dari kediamannya di Madrid yang didiami selama lebih tujuh dekad.
Wanita itu kemudian meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.
Data semasa menunjukkan kadar sewa rumah di Madrid melonjak mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kos purata sebuah apartmen kecil mencecah 1,170 euro sebulan, bersamaan hampir separuh daripada purata gaji bulanan rakyat Sepanyol.
Menjelang pilihan raya Parlimen pada 29 November ini, isu perumahan terus mendominasi pentas politik dengan Perdana Menteri Pedro Sanchez mempertahankan hak pekerja untuk berdemonstrasi, manakala Parti Rakyat (PP) pembangkang menuduh kerajaan memanipulasi protes terbabit demi kepentingan politik.-MalayaDailyToday
























































