MEXICO CITY – Datuk Bandar Rio Bravo di Mexico, Miguel Angel Almaraz dibebaskan dalam keadaan selamat selepas diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di utara negara itu.
Lapor media antarabangsa, pihak berkuasa persekutuan mengesahkan Almaraz dibebaskan kelmarin, beberapa jam selepas dilarikan penculik ketika dalam perjalanan bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya pada Sabtu lalu.
Menurut Jabatan Keselamatan negeri, kenderaan yang dinaiki mereka dipintas oleh kumpulan lelaki bersenjata di kawasan yang merentasi negeri Zacatecas dan San Luis Potosi.
Jelasnya, kumpulan lelaki bersenjata membebaskan ahli keluarga serta rakannya, manakala Almaraz dibawa pergi.
Keluarga mangsa kemudiannya berjaya tiba di sebuah bandar di San Luis Potosi sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan kejadian itu.
Ketika ini, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.
Almaraz merupakan datuk bandar Rio Bravo di negeri Tamaulipas, sebuah bandar yang terletak kira-kira 11 kilometer dari sempadan Mexico-Amerika Syarikat (AS).
Beliau pernah didakwa atas kes pengubahan wang haram dan dipenjarakan selama enam tahun sebelum dibebaskan serta dibersihkan daripada tuduhan itu pada 2015.
Insiden berkenaan berlaku di Zacatecas, negeri yang sering dikaitkan dengan aktiviti kumpulan jenayah terancang termasuk Kartel Generasi Baharu Jalisco dan Kartel Sinaloa.-MalayaDailyToday

























































