KUALA LUMPUR – Penjawat awam yang tidak mematuhi arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Media melaporkan Raja Nushirwan berkata, ketua jabatan bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu, sebagaimana dikeluarkan menerusi surat edaran Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Arahan ini terpakai serta-merta, daripada segi pelaksanaan arahan ini, ada caranya tetapi secara umumnya kita serahkan kepada ketua jabatan masing-masing.
“Tetapi apa pun, pelanggaran mana-mana arahan oleh KSN, ia membawa implikasi dari sudut tindakan disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di Putrajaya.
Raja Nushirwan turut menggesa seluruh warga perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi berkenaan bagi memastikan data pergerakan pengguna tidak terus dieksploitasi pihak luar.
Bagi penggunaan dalam kalangan orang awam pula, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan secara berperingkat yang berteraskan pendidikan dan kesedaran demi mengimbangi keperluan melindungi keselamatan negara di samping menghormati hak kebebasan rakyat membuat pilihan.
Raja Nushirwan memaklumkan langkah untuk tidak mengenakan sekatan serta-merta ke atas aplikasi itu, bertujuan memberi kefahaman secukupnya kepada masyarakat mengenai risiko keselamatan sebelum membuat keputusan sendiri.
“Bagi pihak kerajaan, kita kena sentiasa mengimbangi isu-isu keselamatan dengan isu-isu hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan juga kebebasan memilih.
“Dengan cara yang kita ambil ini, kita serahkan kepada rakyat Malaysia untuk memilih secara sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keberkesanan langkah tersebut akan diteliti dari semasa ke semasa bagi menentukan sama ada tindakan tambahan diperlukan mengikut keperluan keselamatan.
Raja Nushirwan berkata, tindakan tergesa-gesa mengharamkan aplikasi berkenaan, dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap ekosistem pembangunan aplikasi lain dan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menggantikan Waze.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Jelas PMO, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.-MalayaDailyToday
























































