KUCHING – Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) mempertingkatkan langkah keselamatan kampus dengan menempatkan tiga pegawai polis bantuan serta melaksanakan pemeriksaan ketat di pintu masuk berkuat kuasa serta-merta, susulan insiden seorang guru cedera akibat diserang pelajar.
Pihak pengurusan sekolah menerusi kenyataan mengesahkan sesi persekolahan beroperasi semula hari ini selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa, berikutan penutupan awal semalam bagi membolehkan siasatan polis dijalankan.
TPH memaklumkan guru yang cedera itu kini sedang pulih dengan baik di hospital dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Pasukan Kepimpinan Kanan akan mengadakan perhimpunan bersama pelajar berhubung kejadian itu bagi memberikan jaminan keselamatan, menangani kebimbangan, serta menyediakan sokongan kaunseling,” jelas kenyataan itu.
Pihak sekolah turut mengesahkan pelajar yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan polis dan bukan lagi pelajar aktif TPH, selain menggesa orang awam menghentikan sebarang spekulasi di media sosial.
Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak mengesahkan penahanan pelajar lelaki berusia 16 tahun serta merampas pisau jenis penknife dan kapak kecil di lokasi kejadian.
Menurut Saifullizan, pelajar berkenaan kini dibebaskan dengan jaminan polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.-MalayaDailyToday
























































