KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan seorang jururawat selepas suaminya melanggar lafaz taklik dengan bertindak menikam wanita berkenaan sebanyak enam kali di bahagian badan dan leher pada 5 Oktober lalu.
Media melaporkan Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan defendan berusia 47 tahun berkenaan dalam prosiding yang berlangsung selama kira-kira sejam.
Mahkamah memutuskan bahawa defendan telah melanggar Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002, yang memperuntukkan perceraian menerusi taklik atau janji bersyarat yang dilafazkan semasa akad nikah.
“Selepas mendengar pengakuan defendan, mahkamah hari ini memutuskan untuk membenarkan tuntutan plaintif dan mengesahkan perceraian secara taklik,” katanya.
Mohd Anwan menjelaskan bahawa perbuatan suami yang melakukan kecederaan fizikal isterinya sehingga menyebabkan kecederaan parah telah melanggar lafaz taklik yang dibuat ketika perkahwinan pasangan itu kira-kira enam tahun lalu.
Plaintif berusia 44 tahun yang bekerja sebagai jururawat memfailkan permohonan perceraian pada 21 September lalu dan diwakili peguam Sufian Zakaria daripada firma Hafiz Sufian & Co, manakala defendan hadir tanpa diwakili peguam.
Defendan yang masih dalam tahanan reman polis sejak 6 Oktober lalu tiba di mahkamah pagi tadi bagi membantu siasatan kes jenayah menikam isterinya di kediaman mereka di Kampung Padang Lepai.
Sementara itu, plaintif yang mengalami kecederaan parah dalam insiden berkenaan kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).-MalayaDailyToday




















































