KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM280,000 kepada Lim Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Way Chau, selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman kes fitnah berkenaan.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan bahawa pemohon gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa yang munasabah untuk membolehkan mahkamah menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menunggu proses rayuan selesai.
Mahkamah turut menolak hujah Papagomo berhubung keyakinannya untuk menang dalam rayuan serta kebimbangan berdepan prosiding kebankrapan sekiranya pembayaran dibuat serta-merta.
“Alasan yang dikemukakan oleh pemohon tidak memadai untuk mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman,” kata Hakim Roslan semasa membacakan keputusan berkenaan hari ini.
Selain menolak permohonan penangguhan itu, mahkamah turut memerintahkan Papagomo membayar kos prosiding sebanyak RM5,000.
Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada Clint berhubung hantaran fitnah di laman Facebook pada tahun 2020.
Hantaran berkenaan mendakwa Clint ditahan di Singapura kerana cuba membawa masuk wang tunai RM2 juta tanpa pengisytiharan, selain mendakwa Guan Eng berlepas ke negara jiran itu untuk menyelamatkan anaknya. -MalayaDailyToday

























































