WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskyy untuk menghentikan serangan terhadap loji penapisan diesel Rusia.
Media antarabangsa melaporkan Trump menyifatkan tindakan tersebut `menjejaskan dunia’ ketika konflik di Iran masih menyebabkan kenaikan harga minyak dunia.
Malah, pemimpin tertinggi itu turut menegaskan serangan Ukraine terhadap kemudahan pengeluaran bahan api Rusia itu menjejaskan bekalan minyak global.
“Zelensky harus melakukan satu perkara. Pihak beliau perlu berhenti menyerang loji penapisan diesel.
“Biarlah mereka menyasarkan yang lain tetapi bukan bahan api diesel kerana menyebabkan kekurangan bekalan.
“Ia tidak dilakukan oleh Asia Barat namun berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine,” katanya semasa lawatan rasmi ke Ireland.
Jelas Trump, beliau sudah berbincang dengan pemimpin Ukraine mengenai serangan negara itu terhadap lokasi sedemikian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Ada banyak sasaran lain, jadi jangan serang fasiliti penapisan diesel kerana tindakan itu menjejaskan dunia,” katanya.
Dilaporkan, Ukraine melancarkan serangan berterusan menyasarkan kemudahan bahan api Rusia sejak beberapa bulan lalu sehingga menjejaskan kapasiti penapisan Moscow secara ketara dan mencetuskan kekurangan bekalan.
Sebagai tindak balas, Rusia yang merupakan pengeksport diesel kedua terbesar dunia selepas AS, menyekat penjualan bahan api mereka ke luar negara.
Bekalan bahan api turut terjejas akibat konflik di Selat Hormuz yang membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, ketika AS dan Iran berebut kawalan ke atas laluan air itu. -MalayaDailyToday




























































