KUALA LUMPUR – Jenazah dua daripada lima mangsa nahas helikopter yang terlibat dalam misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini untuk urusan pengebumian.
Berdasarkan laporan media tempatan, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham dijadual diterbangkan menerusi perkhidmatan MASkargo dengan penerbangan Malaysia Airlines pada 12.10 tengahari untuk dibawa pulang ke Negeri Sembilan.
Menurut bapa Kapten Zainol, Bee Sham Ahmad, keluarganya bersedia menerima kepulangan jenazah anaknya untuk urusan pengebumian.
Katanya, sebaik tiba dari Sarawak, jenazah anaknya akan dibawa terus ke Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban kira-kira pukul 5.30 petang.
Jenazah Dr. Ainul Baraah yang diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dijangka tiba di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Ahli keluarga terdekat Allahyarham Dr. Ainul memaklumkan jenazah dijangka dibawa ke Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, Kota Bharu untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.
Terdahulu, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Jamal Ad-Din, Taman Jelita, Taman Tunku di Sarawak untuk disembahyangkan setelah selesai urusan di Jabatan Forensik Hospital Miri yang bermula pada awal pagi tadi.
Solat jenazah yang diadakan selepas solat Subuh itu diimamkan Imam Bahagian Miri Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai lebih 300 jemaah termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa.
Insiden yang berlaku pada 8 September lalu membabitkan sebuah helikopter jenis BO-105 milik Layang-Layang Aerospace dilaporkan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Long Lellang.
Lima mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan ialah juruterbang, Kapten Zainol, pegawai perubatan, Dr Ainul, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya. -MalayaDailyToday
































































