NEW DELHI – Malaysia bersetuju dengan cadangan kerajaan India untuk menubuhkan sebuah konsulat baharu di Kota Kinabalu, Sabah.
Kementerian Luar India dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan persetujuan berkenaan ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Narendra Modi di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang berlangsung di New Delhi.
Menurut kenyataan itu, persetujuan penubuhan konsulat Jeneral India di Kota Kinabalu antara perkara dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu.
Jelas kenyataan itu, Modi turut mengalu-alukan kehadiran Anwar ke India dan menghargai penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS sebagai negara rakan kongsi.
“Kedua-dua pemimpin itu meneliti perkembangan kerjasama Malaysia-India dalam pelbagai bidang.
“Antara bidang berkenaan termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, semikonduktor, infrastruktur, ekonomi digital, tenaga, teknologi kewangan, pendidikan, pelancongan serta hubungan rakyat dengan rakyat,” jelas kenyataan itu yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Luar India.
Tambah kenyataan itu, Modi amat menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan ASEAN-India.
“Kedua pemimpin itu saling bertukar pandangan mengenai isu-isu utama serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama.
“Mereka juga menegaskan komitmen berterusan untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif India-Malaysia,” jelas kenyataan itu. -MalayaDailyToday

































































